Sama ada kita suka atau tidak, perang akan menyebabkan dunia huru-hara dalam semua aspek terutama politik, sosial dan ekonomi.
Krisis yang melibatkan kuasa besar memang besar juga impaknya kepada masyarakat global.
Kesan langsung kepada negara yang berperang dan tidak langsung kepada kita semua sebab dalam teori ekonomi ada rantaian yang saling berhubung.
Jika terputus rantaian kesannya lebih dahsyat daripada kena bom itu sendiri iaitu kita syahid.
Jika kita hidup pelbagai kesukaran terus menghimpit emosi dan menghantui fikiran
Jadi sebagai persediaan menghadapi zaman sukar ini perlu kepada tiga perkara utama. Itupun pendapat 20 sen saya sebagai masyarakat awam.
1.Persediaan iman
Iman menjadi dasar paling utuh dan kekar untuk umat Islam. Ingatlah apa-apa yang berlaku semuanya atas izin Allah SWT dan tiada daya serta kekuatan melainkan atas kudrat Allah sahaja.
Sempena bulan Ramadan ini, kesempatan terbaik buat kita semua untuk berdoa agar diberi petunjuk, taufik, hidayah dan iman yang berterusan.
Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir, selawat, istighfar serta baca al-Quran supaya hilang segala kerisauan dan kebimbangan.
Insha Allah dengan persediaan iman maka hati lebih tenang dan damai biarpun 1001 cabaran bakal mendatang selepas ini.
2.Persediaan kewangan
Emak saya pernah kata, ada wang pun kalau tiada makanan untuk dibeli tak boleh jalan juga.
Betul kata emak saya tetapi dalam masa yang sama, jika langsung tiada wang semua perkara pun tak boleh jadi.
Pastikan ada wang untuk kekal survive dalam beberapa bulan yang dijangka sukar atau mendesak.
Dalam memastikan ada wang, cuba usaha untuk berjimat cermat dan hidup bawah paras kemampuan.
Tiada lagi istilah mahu lebih selesa atau mahu menikmati hidup.
Pemikiran kita sudah diset kepada survival mode agar bertahan dan terus bertahan bulan-bulan dalam masa sukar.
3.Persediaan makanan
Ini adalah asas untuk semua orang. Ada makanan adalah kehidupan.
Dalam menghadapi zaman sukar, usahakan makan sekadar perlu dan bukan berlebihan.
Makan sekadar untuk menghilangkan rasa lapar sudah mencukupi.
Jauhi juga pembaziran makanan dan elakkan makan makanan yang kurang berkhasiat.
Jika ada masa atau ruang ataupun tanah, usahakan untuk menanam sendiri sumber makanan.
Sekurang-kurang tidak terkesan dengan harga sayur-sayuran yang semakin mahal sekarang ini.
Untuk makanan asasi seperti beras boleh beli untuk stok tetapi jangan keterlaluan sehingga habis stok di pasaran.
Kesian juga kepada orang lain yang mahu juga makan.
Kurangkan makan makanan import kerana harga memang melambung akan datang.
Pilih barangan tempatan walaupun tidak sebaik makanan import.
Kesimpulan
Jom bersedia dari sekarang.
Kalau bukan sekarang bila lagi.
Ingat, negara-negara di Timur Tengah yang ada kepentingan Amerika Syarikat- Israel akan dibantai Iran tanpa ihsan.
Perkara ini bukan dirancang semalam tetapi sudah puluhan tahun.
Malah dalam sejarah peradaban manusia, sudah diceritakan kisah pembunuhan, taklukan dan pelbagai lagi peristiwa horor yang tidak sanggup kita hadapi pada zaman moden ini.
Semoga konflik segera berakhir dan manusia kembali hidup aman damai semula.
Doa untuk semua.
Segmen harian potret AI
