Solat di 5 masjid dalam 5 waktu

Sebetul, dan sejujurnya program solat di 5 masjid dalam 5 waktu ini bersifat peribadi. Bukan atas tajaan, dorongan atau dukungan mana-mana pihak.

Rasa segan pun ada untuk menghebohkan kepada umum kerana takut disalah anggap atau disalah tafsir. Namun setelah difikir kembali dan diperhalusi, buat apa nak malu kalau benda baik.

Meminjam tagline bekas PM DSN,

“buat apa nak malu bossku.”

Lagipun niat bukan kerana manusia tetapi kerana Allah SWT. Manalah tahu jadi asbab dan penyebab tindakan orang lain pula untuk berbuat demikian juga.

Lebih-lebih lagi kumpulan atau organisasi yang besar atau orang  berpengaruh.

Setidak-tidaknya jadi penyumbang amalan dakwah yang berterusan dalam mengajak ramai lagi golongan Islam mengimarahkan rumah Allah di muka bumi ini.

Tidak boleh disangkal solat fardu lima waktu itu wajib. Solat fardu berjemaah itu terbaik.

Namun solat fardu berjemaah di masjid, surau dan musolla bagi golongan lelaki adalah sunnah Rasulullah yang paling dianjurkan dan sangat dituntut sejak 1,445 tahun dahulu.

Panjang pulak mukadimah saya kali ini.

Ayuh kita mulakan program  tersebut  pada 20 Rabiulawal 1445H yang bersamaan 6 Oktober 2023 lepas.

1.Pusat Islam IPGKTAR

Kredit page Pusat Islam IPGKTAR

Saya memulai program tersebut dengan solat fardu Maghrib di Pusat Islam IPKTAR atau dikenali sebagai masjid maktab. Ia dinamakan Pusat Islam kerana masjid ini berada dalam kawasan IPG.

WAJIB BACA :   Tokoh pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad akan berada di Sarawak

Menurut peraturan, pusat pendidikan tidak dibenarkan untuk declare bangunan tersebut sebagai masjid.

Bagaimanapun fungsinya tetap sama kerana masjid maktab melaungkan azan lima waktu sehari. Malah masjid tersebut jadi pilihan warga setempat untuk menunaikan solat fardu Jumaat sejak dulu lagi.

Kelebihan Pusat Islam IPGKTAR ada imam guru pelatih atau asatizah yang mempunyai bacaan al-Quran yang merdu, sedap dan mengasyikan.

Sayangnya jemaah pada hari biasa memang sedikit yakni guru pelatih atau staf yang berada di situ.

2.Masjid Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan

Kredit page Masjid Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan  (gambar lama)

Sebaik sahaja masuk waktu, saya bergegas ke masjid ini untuk menunaikan solat fardu Isyak.

Masjid ini sangat signifikan dengan kisah hidup saya sendiri. Ada kisah sedih, duka dan gembira boleh saya kaitkan dengan masjid tersebut. Tapi tak akan ceritakan dalam artikel ini pulak.

Pembinaan masjid ini kecil sahaja pada mulanya tetapi kini semakin besar. Namun rupa dan reka bentuknya sangat sederhana. Masih mengekalkan ciri-ciri kampung ditengahkan kemodenan masyarakat.

Tapi jangan tidak percaya, masjid ini sangat meriah, hidup dan selalu dikunjungi oleh para jemaah baik penduduk setempat mahupun jemaah yang dalam perjalanan ke Kuching atau sebaliknya.

Dengar khabar masjid baharu akan dibina lagi di kawasan yang lebih luas.

Kelebihan Masjid Taman Desa Ilmu atau Masjid Darul Ulum ini ialah sentiasa menganjurkan majlis ilmu setiap hari baik berupa kuliah maghrib dan kuliah Subuh pada hujung minggu.

Bukan itu sahaja, imam satu masjid ini adalah johan Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Bahagian Samarahan tahun 2023.

WAJIB BACA :   70 dosa-dosa besar ( bahagian 2)

Jemaah pula sentiasa ramai untuk setiap waktu tidak kira solat Asar dan Zuhur. Sedangkan ada masjid langsung tiada jemaah untuk solat waktu Zuhur dan Asar. Kalau tidak percaya boleh tinjau sendiri.

3.Masjid Darul Ikhlas Kpg Sindang Kota Samarahan

Kredit page Masjid Darul Ikhlas Kpg Sindang Kota Samarahan

Sebaik sahaja azan Subuh berkumandang, saya sudah sampai di pekarang Masjid Darul Ikhlas Kpg Sindang. Sudah tentu jaraknya tidak jauh dari rumah saya.

Masjid ini menarik kerana permaidani yang tebal dan empuk dipijak. Rasa mewah dan premium sebaik sahaja melangkah ke ruangan solat.

Selain itu, saya suka masjid ini disebabkan waktu menunggu antara azan dan iqamat Subuh pendek yakni 10 minit sahaja berbanding kebanyakan masjid dalam15 minit.

Keunikan lain kerana ada imam yang cepat dalam mengimamkan solat. Bacaan laju dan gerakan dalam solat juga pantas. Siapa lambat boleh kena tinggal.

Saya jarang solat di masjid ini disebabkan tempat letak kereta yang terhad. Seperkara lagi masjid ini istimewa kerana memiliki dua van jenazah yang mewah seperti Toyota MPV.

4.Masjid Jamek Negeri Sarawak

Kredit page Masjid Jamek Negeri Sarawak – Rasmi

Pada sebelah pagi saya menghantar anak sulung ke lapangan terbang Antarabangsa Kuching untuk ke Kuala Lumpur.

Kebetulan pula pada sebelah petang saya perlu menghadiri mesyuarat anjuran syarikat. Walaupun sebetulnya saya bercuti pada hari tersebut.

Kesempatan ini saya gunakan untuk menunaikan solat fardu Jumaat di Masjid Jamek Negeri Sarawak.

Jarak masjid ke pejabat lebih dekat dan menjimatkan masa. Mesyuarat saya bermula jam 2.30 petang.

WAJIB BACA :   Sekolah Agama Samarahan Anjur Ujian Kelayakan Tahun Satu 2018

Untuk info semua, Masjid Jamek Kuching sudah berusia 33 tahun dan telah mula dibina pada tahun 1987 serta siap sepenuhnya pada tahun 1990.

Sepanjang pengetahuan saya, masjid ini paling besar di Sarawak. Masa diambil untuk menuju ruang solat dari pintu masuk dalam anggaran dua minit atau lebih.

Bayangkan dalam majlis ilmu Bersama Ustaz Abdul Somad tempohari masjid ini boleh muat jemaah 16 ribu dalam satu-satu masa.

5.Masjid At-Taqwa Kpg Gita

Kredit page Masjid At-Taqwa Kpg Gita

Inilah masjid terakhir dalam program tempohari. Saya singgah di masjid ini selepas pulang daripada pejabat pada hari tersebut.

Waktu solat fardu Asar masih awal dan saya gunakan waktu tersebut untuk beriktikaf sekitar 30 minit.

Masjid ini bukan terlalu asing buat saya kerana saya selalu solat fardu Zuhur ketika bekerja. Jaraknya dari pejabat agak dekat juga.

Puas juga saya cari informasi berkenaan masjid ini tetapi maklumat yang dipaparkan sangat terhad.

Bagaimanapun, saya tinggalkan dulu perkara berkaitan informasi. Perkara menarik di masjid ini selalu ada jenazah untuk disolatkan. Boleh dikatakan setiap minggu.

Imam masjid tersebut pernah menyuarakan kegusarannya. Mereka pernah megimamkan solat jenazah sampai tiga kali sehari. Tetapi jumlah jemaah yang mengimarahkan masjid jarang bertambah.

Ada benar kata-kata imam tersebut. Kematian tidak memberi apa-apa kesan kepada orang hidup pada masa kini.

Kesimpulan

Proses mengimarahkan masjid memerlukan usaha yang berterusan. Bahkan ia merupakan tanggungjawab bersama.

Kalau masjid tidak dikunjungi maka jadilah masjid yang hanya cantik di mata tetapi tidak ada maknanya. Namun jika melakukan program ini setiap hari sudah tentu saya tidak berupaya buat masa kini.

Rasanya itulah sahaja perkongsian kali ini.

Comments 18

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge