Tiba-tiba fikiran saya kosong. Terbang melayang. Hati sarat dengan rindu yang tak tertahan. Jiwa bergelora mengenang rasa cinta. Ya rasa cinta dan impian untuk berjaya.
Bukan alang-alang jika nak berimpian, Terbitnya rasa teruja dengan impian peribadi 2021.
Lantas teringat pesan tuan Sifu Zuhari Nopiah.
Beliau pesan agar war-warkan impian kita di Facebook atau Instagram ataupun blog macam saya sebagai blogger.
Mohon mereka doakan impian.
Mana tahu dalam ramai-ramai berdoa, ada satu doa mereka yang Allah angkat terus ke langit.
Jadi asbab impian tersebut dimakhbulkan.
Ada sembilan impian saya. Nanti satu persatu saya kongsikan dalam blog ini.
Salah satu daripadanya ialah saya bahagia bersama jodoh pada tahun 2021.
Saya tidak meletakkan rupa atau kecantikan perkara utama. Sedap dan senang mata memandang sudah memadai.
Cukuplah baik budi pekerti, taat, setia, beriman, bertakwa dan boleh menerima kekurangan saya seadanya.
Saya bukan baik sangat pun, tiada harta yang mengunung tingginya, duit pula belum lagi mencecah juta-juta dan ilmu pula tak banyak mana.
Saya mahu dan menikmati bahagia.
Kebahagiaan subjektif. Tidak sama satu sama lain.
Bahagia untuk saya jika hati tenang, jiwa damai, cukup keperluan zahir dan batin.
Bahagia juga jika saling memahami, saling melengkapi dan saling mencintai setulus hati.
Cinta yang berpaksi pada akidah dan syariat.
Bukan nafsu beraja di hati. Bukan dunia bertahta di jiwa.
Sebaliknya cinta dua insan untuk dapat redha, rahmat dan kasih sayang Allah.
Inilah kewajaran untuk saya bahagia bersama jodoh pada tahun 2021 nanti.
Aamiin Ya Rabbil Alamiin. Ya Mujib.