Baru-baru heboh isu lelaki curang dengan isteri. Keluarga jadi mangsa. Nama baik tercemar dan dipandang serong.
Ini semua salah lelaki. Yang betul perempuan. Siapa setuju ?
Ya, saya faham. Polemik ini menjadi hangat kerana subjek yang diangkat curang bukan calang-calang.
Ada nama dan ada populariti. Sudah semestinya ramai peminat.
Persoalannya kini isu sensitif dan aib menjadi bahan bualan netizen. Ramai terpalit dosa. Minta kita diampuni atas dosa kering tersebut.
Cabaran terbesar bagi orang yang sudah berkahwin ialah mengekalkan perkahwinan tersebut agar sentiasa bahagia dan harmoni.
Namun tetap akan diuji juga baik kepada suami mahupun isteri. Ujian pula pelbagai bentuk dan cara.
Jalan penyelesaian tetap ada. Jalan mencegah lagi diutama.
Bagaimana?
Suami perlu setia dan isteri juga jangan membuka apa-apa pintu hati untuk dimasuki oleh orang lain. Dua-dua wajib setia jiwa dan raga. Pegang komitmen ini selagi hayat dikandung badan.
Sekali pintu dimasuki, maka kecurangan akan berlaku. Ada curang pada emosi. Malah yang lebih teruk curang emosi dan ‘body’.
Inilah ibu segala kecurangan yang wajar dihindari oleh semua pasangan suami isteri.
Syaitan tetap berusaha untuk menghancurkan rumah tangga. Bagi yang belum berumah tangga, syaitan pula akan menghasut untuk mereka melakukan maksiat.
Ini tugas azali syaitan dari zaman Nabi Adam sehingga dunia ini berakhir dengan tiupan sangkakala.
Namun hanya menyalahkan syaitan semata-mata bukan cara terbaik. Manusia juga dikurniakan akal dan nafsu. Letaknya akal di atas bukan di lutut.
Nafsu pula tetap ada tetapi akan dikawal rapi oleh akal manusia. Lebih baik lagi akal berserta iman.
Hanya iman yang padu akan memandu akal dan nafsu ke arah jalan fitrah. Jalan yang diyakini tunduk kepada kekuasaan Allah SWT.
Akal yang baik dan bijaksana akan menilai kesan kepada diri sendiri dan keluarga serta masyarakat.
Sayangnya ramai yang gagal kerana hati dan fikiran sudah dikuasai nafsu yang tidak pernah kenal puas, lelah dan mencukupi.
Betulkan seperti yang kita selalu dengar , jika diberi dua gunung emas maka tetap mahu juga gunung emas yang ketiga.
Dalam rumah tangga konsepnya hampir sama. Sudah ada seorang isteri tetap juga mahu yang kedua dan seterusnya.
Kalau tidak suka curang mengapa memberi peluang kepada insan yang cuba-cuba masuk ‘line’.
Adakah kerana konsep lelaki belum cukup setia atau ada lelaki memang suka curang.
Jawapannya tidak sama untuk semua lelaki. Jadi jangan samakan semua lelaki dengan kata keramat pukul rata,
“Ini semua salah lelaki atau semua lelaki sama sahaja”
Jom kita fikirkan bersama.
Jom kita perjuangkan rasa setia demi cinta rumah tangga dan demi sayang keluarga.
Mohon kongsikan kepada mereka yang berkaitan.