Tidak sempat bersalam dengan UAS

Sepatutnya cerita kembara Ustaz Abdul Somad ( UAS)  di Kuching saya tulis pada 1 Oktober 2023 yang lepas. Namun sibuk punya pasal, sehingga tiada ruang dan peluang untuk saya mengadap blog dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Alhamdulillah dengan ada sedikit kesempatan yang ada saya terus guna peluang ini untuk saya mencoret pengalaman terindah tersebut.

Pada tahun 2019 saya juga pernah menghadiri majlis ilmu seumpama ini di Masjid Darul Hana dan Masjid Al Takwa bersama Habib Umar Hafiz.

Ya, selepas hampir lima tahun kemudian saya ada lagi pengalaman menghadiri Maulid Akbar bersama tokoh pendakwah terkenal Nusantara, Ustaz Abdul Somad di Masjid Jamek pada 30 September 2023.

Jom kita telusuri pengalaman saya ketika itu..

Seusai menunaikan solat fardu Asar di Masjid Darul Ulum Samarahan, saya bersama anak sulung terus bertolak ke Masjid Jamek Kuching.

Hujan turun tetapi tidak begitu lebat.

Semasa melintasi pasar malam Uptown Desa Ilmu, saya sempat untuk membeli makanan untuk bekal kami berdua pada hari tersebut.

Perjalanan dari Kota Samarahan cukup lancar namun tersekat dek kesesakan jalan raya ketika melalui jalan di emart Tabuan Jaya.

Dalam hati terdetik, hujung minggu pun masih sesak seperti hari biasa.

Adakah penduduk di sini tidak pernah duduk diam-diam di rumah.

Soalan terus tinggal soalan. Tiada jawapan sehingga kini.

WAJIB BACA :   Rindu 3 penjuru

Alhamdulillah tepat jam 1715 saya sampai di pekarangan masjid Jamek. Oleh sebab sampai awal, tidak ada kesukaran untuk mencari tempat letak kereta.

Saya dan anak sulung makan terlebih dahulu dalam kereta. Sebab saya tahu selepas itu memang tiada peluang untuk berbuat demikian.

Kami makan seadanya. Biasalah makan dalam kereta dan bukannya makan di rumah atau kedai makan. Habis sahaja makan dan mengambil wuduk, kami mengambil tempat dalam masjid.

Dapatlah saf ketiga tetapi masih jauh dari tempat yang akan UAS buat ceramah. Para jemaah semakin ramai dan saya difahamkan mereka sudah berada di masjid jamek ketika menunaikan solat fardu Asar lagi.

Sedangkan saya dan anak baharu nak ambik tempat dalam masjid pada pukul 1745.

Ketika azan Maghrib berkumandang pada jam 1833, ruang masjid sudah penuh dibanjiri para jemaah. Kami solat dalam keadaan sangat ramai umpama solat Jumaat. Saya juga dapat info bahawa sekitar 16 ribu jemaah yang hadir pada malam tersebut.

Jemaah terlalu ramai

Atas sebab tempat sangat terhad ramai jemaah tidak berpeluang melakukan solat sunat selepas Maghrib termasuk saya sendiri.

Sementara menunggu kedatangan UAS pada jam 2030, program dimulai dengan lantunan Marhaban dan Qasidah.

Masya Allah, best sangat dan syok giler.

Tidak terasa masa berlalu sehingga masuk waktu Isyak.

Para jemaah semakin sesak dan padat dalam ruangan masjid. Kami duduk rapat-rapat sehingga kedinginan aircond sudah tiada rasa lagi.

WAJIB BACA :   Sekolah Agama Samarahan Anjur Ujian Kelayakan Tahun Satu 2018

Akhirnya masa yang ditunggu sudah tiba. UAS memulakan ceramah sekitar jam 2045 begitu.

Para jemaah yang hadir teruja dan terkesima. Mereka begitu khusyuk sehingga tidak sempat untuk menoleh kiri atau kanan.

Mana-mana jemaah yang berada di depan boleh melihat sosok tubuh UAS secara dekat. Namun bagi mereka yang jauh terpaksa menatap skrin layar besar yang disediakan.

Jemaah bukan setakat dalam masjid, malah melimpah sehingga ruangan luar masjid termasuk dalam khemah khas untuk para muslimah yang tengah uzur syarie.

Macam biasa, UAS menyelit selorohnya dalam ceramah sehingga jemaah tersenyum dan ketawa kecil.

UAS bagi ceramah dalam masa 60 minit. Ia bagaikan 10 minit sahaja. Itulah penangan UAS sehingga memukau hadirin yang hadir.

Alhamdulillah para jemaah yang hadir rata-rata anak muda yang bermuka tidak bersalah. Muka orang baik katakan. Memandang mereka hati jadi tenang.

Antara intipati ceramah yang masih terkesan kepada saya hingga saat ini ialah pesanan kepada kaum wanita.

“Jika hendak mencari suami lihat kepada dua syarat ini:  baik akhlaknya dan baik agamanya”

Ketika ceramah berakhir, para jemaah berpusu-pusu untuk mendekati UAS.

Namun benteng pengawal dan sukarelawan pasti memustahilkan kami untuk bersalaman dengan UAS. Kawalan sangat ketat sehingga tiada seorang pun tidak terlepas untuk betul-betul bersalaman dengan UAS pada malam itu.

WAJIB BACA :   Buat baik dibalas baik buat jahat dibalas jahat...semudah itu

Maka benarlah kata pengerusi majlis yang berpesan pada malam tersebut.

“Jangan kecewa andainya tidak sempat bersalaman dengan UAS tetapi paling penting kutiplah ilmu yang disampaikan beliau.”

Habis majlis saya dan anak sulung keluar masjid dengan keadaan berhimpit dengan ramai manusia.

Suasana ketika itu bagaikan seperti berada di Masjidil Haram ketika tawaf. Alhamdulillah tiada perkara yang tidak diingini berlaku kerana masing-masing sudah pulang dengan hati lapang dan fikiran tenang.

Inikan majlis ilmu dan bukan konsert hiburan.

Sampai di tempat letak kereta kelihatan ramai lagi jemaah menunggu kawan atau keluarga yang lain.

Kali ini sudah kelihatan muslimah yang elok dipandang dan penyejuk jiwa. Mereka cantik, menawan dan anggun dengan pakaian yang patuh syariah.

Saya berpesan kepada anak,

“ kalau nak cari isteri, pergilah ke masjid kerana muslimah tersebut adalah insan terpilih, terjaga kehormatan, cantik dan senang untuk dijaga ”.

Anak saya terdiam tanpa mengulas apa-apa kerana saya tahu dia cuba memahami nasihat berharga tersebut.

Kami akhirnya sampai ke rumah sekitar jam 2300 selepas menempuh perjalanan hampir sejam dari Kuching ke Kota Samarahan.

Semoga majlis ilmu sebegitu mendapat sambutan hangat pada masa yang akan datang.

Saya kongsikan juga video rakaman Youtube UAS official untuk pembaca semua.

Semoga bermanfaat.

Comments 26

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge