Pengalaman bina sistem automasi blog guna AI walaupun bukan orang IT

2 minit bacaan

Beberapa hari yang lepas saya berjaya membangunkan satu sistem automasi untuk blog saya menggunakan ejen Hermes dan Claude. Dengan sistem ini, saya tidak perlu membuka komputer riba.

Segala arahan boleh diberikan melalui WhatsApp sahaja.

Proses pemasangannya agak sukar dan mencabar. Pertama, saya bukan pembangun web dan tidak mahir dalam bidang teknikal. Bayangkan seseorang yang sudah separuh abad usianya melangkah ke dunia AI dan pengekodan; tentulah cabarannya besar.

Alhamdulillah, kesukaran demi kesukaran dapat diatasi walaupun memakan masa yang lama. Selepas tamat kerja pada pukul 5 petang, saya menyambung usaha ini sehingga berjaya menyiapkan tetapan pada pukul 9 malam.

Ini kejayaan yang kecil, tetapi wajar dibanggakan kerana perkara teknikal sebegini dapat dilakukan oleh seseorang yang bukan pakar dengan bantuan AI sahaja.

Kini, saya menulis hanya menggunakan suara. Claude menukarkan suara itu kepada teks. Setelah siap, teks tersebut dihantar oleh Hermes melalui WhatsApp ke papan pemuka WordPress dalam bentuk draf.

Saya tidak mahu menerbitkannya secara automatik bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Lagipun, saya perlu menyunting draf itu satu per satu supaya tidak timbul masalah pada masa hadapan.

Itu sahaja perkongsian saya untuk bahagian pertama.

Bahagian kedua

Pada kali saya ingin berkongsi pengalaman mengautomasikan tugas tempoh hari.

Pada pandangan umum, proses automasi nampak mudah. Namun, di sebaliknya ia merupakan tugas yang sangat mencabar, terutama bagi mereka yang bukan daripada bidang tersebut.

Bukan itu sahaja, automasi melibatkan banyak kos. Yang paling ketara ialah kos token. Dalam bidang AI, token boleh dikaitkan dengan wang. Semakin banyak token digunakan, semakin banyak wang dibelanjakan. Penyedia AI biasanya menyediakan API (antara muka pengaturcaraan aplikasi). Token ialah cara AI mengira jumlah penggunaan untuk menghasilkan output.

Berbalik kepada proses automasi tadi, ia tidak dapat lari daripada melibatkan token. Yang paling penting ialah masa, iaitu masa yang diperlukan untuk menyediakan tetapan yang remeh dan rumit, khususnya bagi mereka yang bukan daripada bidang ini.

Perlu diketahui juga bahawa sebelum era AI, golongan yang terlibat dalam sistem di belakang tabir atau sistem automasi ini tidak ramai.

Selepas kemunculan AI, bilangan mereka bertambah umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Kebanyakan mereka bukan daripada bidang tersebut, tetapi belajar menggunakan AI.

Bagi peniaga atau pemilik perniagaan, sistem automasi ialah pilihan yang terbaik. Dari sudut positif, ia dapat menjimatkan kos. Namun, dari sudut negatif, ia mengurangkan keperluan tenaga kerja. Pemilik perniagaan tidak lagi memerlukan pekerja yang ramai. Secara tidak langsung, perkara ini menghadkan peluang pekerjaan.

Leave a Comment

Entri Popular

Komen Terkini