Mrhanafi hendak kongsikan Perbezaan Takaful Dan Insurans Konvensional. Sebab mrhanafi selalu mendengar prospek berpendapat takaful itu sama dengan insurans.
Paling tidak pun ada yang melabelkan mrhanafi sebagai orang kaya samarahan yang jual insuran. Perkara ini mesti diperbetulkan sebelum ia semakin keliru dan mengelirukan.
Sebelum itu artikel ini agak panjang. Jika rasa tak sempat baca habis boleh baca separuh dan baca separuh lagi esok hari.
Yang penting pembaca faham dan jika ada sebarang kemuskyilan, mrhanafi bersedia untuk memberi bantuan semampu yang boleh.
Jom kita baca dan fahaminya.
Takaful bermaksud saling menjamin, berasal dari perkataan Arab – kafala. Konsep takaful bertujuan mengalakkan tolong menolong dan perpaduan di kalangan para peserta selari dengan konsep ta’awun. Dalam Islam, menolong atau menyediakan bantuan amatlah digalakkan.
Takaful sering dikaitkan dengan insurans sedangkan takaful agak berbeza dengan konsep insuran. Dalam takaful risiko dijamin oleh para peserta manakala dalam insurans konvensional risiko akan ditanggung oleh pihak penyedia insurans
Dalam perniagaan takaful, pemahaman dari maksud ini merupakan satu agenda penting. Ia diterapkan kepada semua peserta yang mengambil perlindungan takaful untuk berniat ikhlas bagi saling jamin-menjamin di kalangan mereka ketika ditimpa musibah.
Secara amnya, objektif dalam industri takaful sebenarnya mempunyai persamaan dengan industri insurans konvensional.
Kedua-duanya merupakan instrumen untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah.
Secara jelasnya, kedua-dua instrumen ini merupakan satu cara yang moden untuk memindahkan risiko yang berlaku dan sudah menjadi kebiasaan, sesuatu ganjaran akan diberi kepada pihak yang sanggup menerima pemindahan risiko ini
Dalam memastikan penyedia insuran boleh bertahan dalam industri tersebut mereka akan membuat pelaburan wang dana ke mana-mana perniagaan yang ada judi,alkohol dan sebagainya.
Maaf bukan salah untuk mereka kerana ianya adalah strategi perniagaan mereka untuk mencari keuntungan dalam perniagaan.
Perlu difahami mencari yang halal adalah wajib untuk umat Islam.
Table of Contents
Perbezaan takaful & insurans konvensional
Objektif insurans dapatlah diungkapkan sebagai golongan ramai yang bernasib baik membantu golongan yang tidak bernasib baik. Sememangnya objektif tersebut adalah diiktiraf oleh Islam. Al-Quran dalam surah al-Maaidah, ayat 2, secara terangnya turut menyatakan galakan oleh Allah kepada manusia untuk mengamalkan sikap tolong-menolong, bermaksud:
- “Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”.
Apa yang menjadi persoalannya ialah apakah ciri utama yang membezakan takaful dan insurans konvensional?
Tarikh 15 Jun 1972 merupakan tarikh penting bermulanya pengumuman terhadap penerokaan dan kajian yang dibuat ke atas kontrak insurans konvensional.
Pada tarikh tersebut, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam persidangan yang kelimanya telah memutuskan iaitu insurans nyawa sebagaimana yang dijalankan oleh syarikat-syarikat insurans yang ada pada masa ini adalah suatu muamalah yang fasid (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dari segi aqadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba.
Gharar
Maksud al-Gharar ialah “ketidakpastian”. Maksud ketidakpastian dalam urus niaga muamalah ialah:
- “Terdapat sesuatu yang ingin disembunyikan oleh sebelah pihak dan boleh menimbulkan rasa ketidakadilan serta penganiayaan kepada pihak yang lain”.
Menurut Ibn Rushd maksud al-Gharar ialah,
“Kurangnya maklumat tentang keadaan barang (objek), wujud keraguan pada kewujudkan barang, kuantiti dan maklumat yang lengkap berhubung dengan harga. Ia turut berkait dengan masa untuk diserahkan barang terutamanya ketika wang sudah dibayar tetapi masa untuk diserahkan barang tidak diketahui”.
Ibn Taimiyah pula menyatakan al-Gharar ialah,
“Apabila satu pihak mengambil haknya dan satu pihak lagi tidak menerima apa yang sepatutnya dia dapat”.
Al-Gharar ditakrifkan dalam Kitab Qalyubi wa Umairah menyatakan Mazhab Imam Al-Shafie mendefinasikan gharar sebagai
“Satu (aqad) yang akibatnya tersembunyi daripada kita atau perkara di antara dua kemungkinan di mana yang paling kerap berlaku ialah yang paling ditakuti”.
Prof Madya Dr. Saiful Azhar Rosly menyatakan,
“Gharar yang dimaksudkan dalam perbahasan sah atau tidak sesuatu kontrak itu merujuk kepada risiko dan ketidakpastian yang berpunca daripada perbuatan manipulasi manusia mengakibatkan kemudaratan ke atas pihak yang dizalimi.
Umpamanya dalam jual beli kereta terpakai, pembeli tidak diberitahu tentang keadaan sebenar kenderan tersebut. Setelah selesai perjanjian jual beli, gharar dalam objek jual beli itu boleh dijadikan alasan membatalkan kontrak. Ini kerana gharar itu terhasil daripada perbuatan zalim yang disengajakan”.
Kontrak Insurans mengandungi unsur gharar kerana apabila tidak berlaku tuntutan, satu pihak (syarikat insurans) akan mendapat semua keuntungan (premium) sementara satu pihak lagi (peserta) tidak mendapat sebarang keuntungan.
Keadaan ini bertepatan dengan definisi gharar oleh Ibn Taimiyah yang menerangkan gharar dalam kontrak berlaku apabila satu pihak mendapat keuntungan sementara sebelah pihak lagi tidak menerimanya.
Menurut laporan Badan Petugas Penubuhan Syarikat Insurans Secara Islam di Malaysia, adalah jelas di dalam kontrak insurans yang diamalkan sekarang mengandungi elemen gharar kerana Ma’kud Alaih (barang) tidak jelas, dan ia berkait dengan:-
- Tidak diketahui dengan jelas samada dapat atau tidak bayaran yang dijanjikan.
- Tidak diketahui kadar bayarannya.
- Tidak diketahui bila masanya.
Badan Petugas menyatakan kewujudan gharar dalam kontrak insurans kerana Kontrak Insurans adalah di atas “Dasar Jual Beli”.
Dalam Islam, jika sesuatu itu terlibat dengan muamalah jual beli maka ia mesti memenuhi rukun dan syarat jual beli. Antara rukunnya ialah:
- Penjual dan Pembeli (Aqidain)
- Aqad (Ijab dan Qabul)
- Barang (Ma’kud Alaih/Subject Matter)
Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah kewujudan ketidakpastian ‘barang’ dalam kontrak insurans kerana syarat barang yang telah ditetapkan oleh Syarak tidak dapat dipenuhi.
Bagi Islam, syarat-syarat bagi setiap rukun-rukun tersebut adalah penting dan mesti dipenuhi. Di antara syarat barang yang mesti dipenuhi ialah:
- Barang tersebut dapat diserahkan dalam majlis akad.
- Masa penyerahannya telah ditetapkan.
- Barang tersebut telah ditentukan jenis dan kuantitinya.
- Tempat untuk diserahkan barang telah ditentukan.
- Bukan barang yang mengandungi unsur-unsur najis dan dilarang Syara’.
Namun ada pendapat yang menyatakan bahawa ‘barang’ dalam kontrak insurans adalah jelas kerana ia telah tercatat dalam kontrak dan akan diserahkan apabila terjadinya kemalangan. Lebih mengukuhkan lagi hujah tersebut ialah apabila mahkamah sendiri akan mendengar kes seumpama itu.
Kita mengakui pendapat ini dan kerana itulah dinyatakan perbezaan sebenar antara Takaful dan Insurans ialah dari segi “Keyakinan (Belief)”. Cuba kita perhatikan, apakah bezanya pasangan yang berkahwin dengan pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan kecuali melalui kontrak yang dianggap sah oleh undang-undang sivil?
Tentu sekali wujud perbezaan walaupun kontrak yang dibuat oleh pasangan tersebut adalah lengkap dengan segala hak antara kedua pasangan telah termaktub dan diditilkan dalam kontraknya, namun bagi Islam ia tetap tidak sah kerana berlawanan dengan Syarak.
Maisir/Judi
Para ulama’ menyatakan Maisir dan Gharar mempunyai kaitan yang amat rapat. Ini bererti jika sesuatu transaksi itu mengandungi unsur gharar maka dengan sendirinya unsur judi turut ada. Kaitan antara keduanya adalah terlalu rapat dan saling berkait.
Maisir (Judi) dalam kontrak insurans wujud bilamana:
- Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya.
- Peserta hilang wang premium apabila peristiwa ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku.
- Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima.
Riba
Unsur riba terdapat dalam urusniaga Pinjaman dari Polisi yang ditawarkan kepada peserta dalam produk Insurans Nyawa. Dalam sistem kemudahan pinjaman ini, Syarikat insurans akan mengenakan bayaran faedah kepada peserta yang membuat pinjaman. Jelas sekali bahawa bayaran faedah tersebut merupakan riba yang dilarang oleh Islam.
Elemen riba turut wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan insurans, kebanyakannya dilaburkan dalam instrumen kewangan seperti bon dan juga saham yang kerap melibatkan syarikat-syarikat yang berurusniaga dengan kegiatan sistem perbankan konvensional.
Para ulamak telah sepakat memutuskan Takaful sebagai ganti kepada Insurans Konvensional. Dasar Tabarru’ menjadi teras utama yang membina paksi Takaful. Penggunaan dasar ini turut menyelamatkan pengurusan Takaful untuk seiring dengan keredhaan Syarak dalam soal Muamalah Islam. Dengan penggunaan Tabarru’ ini maka Takaful terselamat dari terkena unsur gharar dan maisir.
Takrif Tabarru’
Tabarru’ merupakan perkataan Arab yang bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks perniagaan Takaful, setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat yang ikhlas untuk menderma bagi membantu para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah.
Dalam erti kata yang lebih tepat ialah, semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu dikalangan mereka di atas niat yang sama.Inilah yang dinamakan keindahan konsep takaful yang ramai orang keliru.
Penegasan ini dapat dilihat dari fatwa oleh Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang menegaskan insurans Islam boleh diadakan dengan syarat setiap peserta menderma di dalam satu tabung untuk membantu sesama mereka.
Hari ini, kebanyakan syarikat yang menjalankan Takaful adalah terlibat dengan dunia perniagaan. Oleh itu Tabarru’ yang bersyarat, diperkenalkan di mana setiap peserta yang ingin menyertai takaful mestilah menderma sesuai dengan risiko yang dibawanya.
Syarikat terpaksa menetapkan kadar Tabarru’ kerana ingin memastikan Tabung Tabarru’ yang disertai oleh semua peserta tidak terjejas bagi memberi keadilan kepada semua pihak. Justeru itu, jika seseorang peserta membawa risiko yang besar maka kadar tabarru’ yang mesti disumbangkan mestilah sepadan dengan risiko tersebut.
Terdapat juga sesetengah pendapat yang merasakan penggunaan istilah Tabarru’ adalah tidak tepat kerana amalannya adalah berbeza dengan maksudnya yang bererti peserta tidak boleh disyaratkan jumlah pembayaran kerana ia adalah ikhlas semata-mata. Namun dengan operasi dan mekanisme yang digunakan dalam industri Takaful, diharapkan ia tidaklah dijadikan isu yang besar.
Penggunaan Tabarru’ yang menjadi dasar Takaful telah berjaya melahirkan satu Insurans Islam yang tidak bercanggah dengan Syarak. Unsur-unsur Gharar dan Maisir telah dapat dihapuskan dengan kewujudan dasar tersebut.
Mrhanafi mengakui instrument takaful adalah galakkan kepada masyarakat untuk mengurus kewangan dengan disiplin dan sistematik.Dalam masa yang sama menjadi satu alternatif wajib dari insurans konvensional.Takaful adalah produk patuh syariah dan para pencarum tidak perlu rasa curiga atau was-was.
Tambahan pula instrument takaful untuk semua masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.Malah produk yang disediakan melalui takaful telus,ada integriti dan diyakini memberi manfaat kepada pencarum atau peserta.
Kedua-dua polisi Takaful dan insurans konvensional diusahakan di atas sistem asas yang sama, iaitu dengan pengumpulan dana untuk mengurus risiko sekumpulan orang. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan besar antara dua sistem ini, terutama apabila Takaful patuh syariah dari mana ianya telah dibangunkan.
Niat Peserta:
Walaupun tidak diragui bahawa Takaful menyediakan jaminan kewangan, akan tetapi pembeli polisinya memasuki perjanjian yang mana sebahagian besarnya menyumbang ke dalam satu dana yang mungkin dapat membantu mereka yang mengalami musibah dan memerlukan bantuan kewangan. Sebaliknya, polisi insurans konvensional dibeli sebagai jaminan kewangan peribadi dan syarikat insurans merupakan penanggung risiko.
Pelaburan:
Sementara unit pelaburan insurans konvensional melabur berdasarkan penilaian mereka yang bersesuaian dengan profil mereka, pelaburan Takaful mematuhi prinsip-prinsip dengan ketat. Mereka tidak boleh melabur dalam apa-apa yang mengandungi unsur-unsur perjudian, ketidakpastian dan riba (amalan meminjamkan duit dengan kadar faedah yang tidak munasabah). Hal ini diseliakan mengikut kehendak Syariah yang ditentukan oleh pengawal selia yang dilantik khas.
Pulangan:
Jika terdapat lebihan wang yang disebabkan oleh kadar tuntutan yang rendah, ia akan diagihkan di antara peserta-peserta, dan keuntungan dari pelaburan akan diagihkan kepada para peserta dan pemegang-pemegang saham, berdasarkan model yang telah ditetapkan.
Pengendali Takaful akan mengambil sedikit keuntungan dari lebihan melalui yuran prestasi atau berkongsi lebihan. Walaupun begitu untuk memastikan ianya dibuat secara sah, jumlah pembayaran dari lebihan yang boleh dibayar kepada pengendali Takaful tidak boleh melebihi amaun lebihan yang dibayar kepada para peserta.
Untuk insurans konvensional pula, lebihan dan keuntungan dimiliki oleh pemegang-pemegang saham syarikat insurans.
Takaful dan Insurans mempunyai tujuan yang sama iaitu memberikan jaminan dan bantuan kepada peserta dalam bentuk kewangan. Namun di antara kedua-duanya terdapat perbezaan yang besar. Perbezaan yang wujud dapat dilihat daripada sudut berikut:
HUKUM
Perniagaan takaful adalah halal dan umat Islam harus menyertainya sementara perniagaan insurans telah diputuskan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga majlis majlis fatwa lain. Perniagaan Insurans mengandungi unsur Riba, Maisir dan Gharar, Maka memberli polisi insurans dan segala hasil pendapatan daripada syarikat insurans adalah haram.
Sila rujuk : http://www.e-fatwa.gov.my
KONTRAK ASAS YANG DIGUNAPAKAI
Dalam Insurans konvensional kontrak yang digunapakai ialah kontrak pertukaran(Mu’awadat) iaitu dalam bentuk jual beli. Sementara Takaful menggunakan kontrak derma (Tabarru’)
Kontrak kontrak lain
Dalam Insurans konvensional tidak terdapat kontrak kontrak lain selain kontrak jual beli. Tetapi dalam Takaful digunakan kontrak wakalah (agensi) dan kontrak Mudharabah (Perkongsian Untung Rugi)
Tanggungjawab pemegang polisi
Peserta Takaful akan menyumbang caruman untuk saling menjamin diantara semua peserta sementara pembeli insurans akan membayar premium kepada penaggung insurans. Penyertaan Takaful merupakan satu akad dalam kalangan peserta tetapi pembelian insurans adalah satu kontrak diantara penginsurans dan pemegang polisi.
SALURAN PELABURAN
Pelaburan kumpulan wang Takaful akan dilaburkan melalui instrumen pelaburan yang diharuskan dan pelaburan ini hanya akan dilakukan keatas syarikat syarikat yang telah dikelaskan sebagai patuh Syariah. Penentuan ini adalah berdasarkan senarai patuh Syariah yang dikeluarkan oleh Suruhan Jaya Sekuriti(SC).
Pelaburan syarikat insurans pula adalah bebas kepada semua jenis instrument tidak mengira sama ada halal atau tidak. Ini termasuklah pelaburan ke atas syarikat perjudian dan arak.
PERJALANAN OPERASI
Syarikat Takaful mempunyai Majlis Pengawasan Syariah yang bertanggungjawab memberikan nasihat dan mengawasi terhadap segala aktiviti termasuk pelaburan. Selain itu syarikat Takaful juga mempunyai Unit Syariah yang berperanan sebagai secretariat kepada Majlis Penasihat Syariah.
Kebanyakan Syarikat Insurans tidak mempunyai bahagian penasihat Syariah dan kalau ada ianya hanya memberi nasihat dalam beberapa perkara tertentu sahaja. Namun perjalanan operasinya masih lagi perniagaan insurans konvensional.
[ Nota Penutup ]
Informasi yang mrhanafi kongsikan diatas berdasarkan 3 sumber utama. Untuk menjaga krebiliti mrhanafi memberi kredit kepada sumber yang terlibat.
Sekian. Jumpa lagi.
Sumber :
- Kemas kini 30/12/22
alhamdulillah saya ada takaful 😉
siti hazreen recently posted…Tips Kejayaan Pasukan Catur
tahniah..kerana ada membuat keputusan yang bijak dan terbaik..
Hello! Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Apakah Anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website kami http://kbagi.com/ atau http://www.facebook.com/kumpulbagi/ untuk info selengkapnya.
Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, filem dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis 🙂
sesuatu yang gratis sentiasa disukai ramai..
Panjang lebar penerangan ni. Ada perbezaan antara takaful dengan insuran. Ketika masih bekerja dulu sebenarnya dari segi teori ( policy dan claims ) tak banyak beza. Cuma dari segi perlaksanaanya secara praktikal yang kurang menepati . Saya berkata begini sebab saya berada di industri ini hampir 20 tahun sebelum berhenti . Hopefully dari segi perlaksanaan ia akan bertambah baik dan lebih beri kefahaman pada pengguna. Good work !
terima kasih menyumbang pendapat yang bernas..
pelaksanaan takaful yang patuh syariah semakin baik dan penambahbaikan sentiasa dilakukan
itulah pendapat yang saya suka…